Wednesday, 19 March 2014

PADA TITIK JERNIH ITU ADA KISAH TERPENDAM..



Bismillahirrahamanirrahim..

Alhamdulillah atas nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan untuk kita mengabdikan diri padaNya.
Tergerak untuk menukilkan apa yang terdetik di hati. Lewat masa, hati ini mudah tersentuh dengan setiap apa yang berlaku. Sejak dari dahulu, ada beberapa perkara yang bisa menumpahkan air mataku. Biar aku kongsikan momen yang bisa memecahkan benteng air mata ini.

  • Melihat seorang lelaki bergelar ayah mengalirkan air matanya kerana keluarga.- Apabila namanya lelaki, sangat sukar melihat mereka menangis. Hati mereka sangat tegar dan akan sedaya mungkin untuk bertahan. Bila mata mereka menitikkan air jernih itu, bermakna mereka sudah mencuba sedaya mungkin untuk tetap bertahan. Masih aku ingat lagi, kali pertama aku lihat mata ayah merah menahan air mata yang kering di kelopak matanya. Lapan tahun lalu. Saat aku khabarkan bahawa aku mendapat tawaran ke salah sebuah sekolah berasrama penuh yang terkemuka dan perlu mendaftarkan diri pada keesokan harinya (last minute notice). Kami bukan dari keluarga yang kaya. Hidup di kampung dengan keperluan seadanya. Batasan kewangan dalam masa yang berbaki menyebabkan ayah buntu mencari penyelesaian. Antara kemahuan anak yang perlu dituruti tetapi dibataskan oleh masalah kewangan. Sejak itu, aku bertekad dalam diri untuk terus berusaha sebaik mungkin untuk membahagiakan ibu ayah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah untuk apa yang aku capai sekarang.

  • Apabila orang tua melakukan pekerjaan berat. Dalam usia yang begitu tua, dan kedut berlingkaran di muka, keringat mereka tetap ditabur untuk mencari rezeki. Apatah lagi jika memerlukan mereka mengerah kudrat yang semakin penat. Hati sayu melihatnya. Dalam usia tua, mereka sepatutnya sedang berehat menikmati baki usia yang tersisa.
Gambar ihsan google
  • Melihat anak yatim yang dalam kesusahan. Sungguh anak yatim itu sangat dimuliakan Allah dan Rasulullah. Melihat wajah kecil mereka, pasti akan merentap sayu di hati. Dalam usia yang muda, sudah kehilangan tempat bergantung. Dan aku kagum dengan semangat kental mereka yang terpaksa berjauhan dari keluarga, belajar berdikari di rumah anak-anak yatim namun masih mampu cemerlang dalam pelajaran. Berbeza dengan kita yang hidup dalam keselesaan, namun masih lalai.

Aku kagum setiap kali melihat rancangan Bersamamu di TV3. Kagum dengan penerbitnya, Mazlin Nordin yang menunjukkan kesungguhan membantu insan yang memerlukan. Kadang-kadang air mata ini tumpah tatkala melihat tangannya tulus menggosok kepala anak-anak kecil yang kehilangan ayah atau ibu. Lantas aku terkenangkan bagaimana Rasulullah juga berbuat begitu. Menggosok kepala anak yatim. Allahu..
Aku kira, sudah banyak jasa yang ditaburkan dan mungkin saja banyak tangan-tangan insan yang mendoakannya. Aku menanam impian untuk menjadi sepertinya. Ingin berbakti semampu mungkin. Berkongsi apa yang Allah pinjamkan. Ya Allah, bantulah aku dan berikan aku kekuatan untuk membantu hambamu yang memerlukan.

Hidup ini hanya pinjaman dari Allah. Akhirat tempat kita kembali selamanya. Lalu, cukupkah bekal yang kita ada untuk perjalanan akhirat jika sekadar solat dan puasa. Bagaimana pula jika amalan yang fardhu itu pun sudah compang camping. Apakah amal yang ada untuk menampungnya.
Moga amalan-amalan sunnah ini yang dapat menampung ketirisan amal fardhu kita di akhirat kelak.
Ayuh kuatkan iman, tingkatkan amal.



                                       وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ                                      
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian. (Az-Zariyat:19)



No comments:

Post a Comment