Friday, 8 March 2013

APAKAH INI KEBERKATAN??



Assalamualaikum sahabat fillah.

Kekeringan idea untuk menulis di IO ni. Kekadang idea datang mencurah-curah, mahu tulis itu, nak tulis ini tapi tak punya kesempatan kerna komitmen lain yang lebih penting.

Ingin aku kongsikan satu hikmah yang aku baca tika aku screening buku Zero to Hero.

"Aku akan duduk di sebuah tempat yang tidak kuberikan sedikit pun tempat untuk syaitan."-Umar bin Abdul Aziz

Sama-sama kita muhasabah.

==============================================================

Hari ini ingin aku kongsikan kisah yang biasa-biasa bagi kamu tapi mungkin ada hikmah bagi aku yang serba kekurangan ini.

Alkisahnya seminggu yang lalu aku dan sahabat seperjuangan bertungkus lumus siang dan malam mengatur gerak kerja untuk satu program bersama akhawat fillah.
Perancangan yang dibuat 3 minggu amat-amat membuatkan kami tidak senang duduk. Kami berusaha bersungguh-sungguh dan meletakkan pergantungan sepenuhnya pada Allah moga segala-galanya berjalan lancar. Program yang bermula pagi sabtu hingga ahad petang dan aku merupakan salah seorang fasilitator diberi amanah untuk mengendalikan satu slot pada sabtu tengah hari.

Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan. Hari jumaat petang sebelum berakhirnya sesi klinikal di hospital, doktor meminta aku dan rakanku untuk present seminar yang sepatutnya diadakan pada hari jumaat. Disebabkan kekangan masa, seminar tidak sempat dihabiskan dan terpaksa dibawa ke hari sabtu.

Aku seperti cacing kepanasan memikirkan amanah untuk aku bawa pada hari sabtu. Syura dibuat, dan slot aku dianjak ke petang hari. Aku terus-terusan berdoa moga segalanya dipermudahkan.
Disebabkan aku akan ke hospital untuk presentation, aku terpaksa bergerak bersendirian ke tempat program.Perjalanan yang bakal ditempuh mengambil masa 2 jam. Perjalanan berseorangan ditambah dengan pelbagai berita mengenai jenayah yang berlaku kebelakangan ini agak merisaukan.

Takdir Allah mengatasi segalanya, kerisauanku terpadam tatkala salah seorang akhawat juga terpaksa bergerak lewat dari yang lain kerna ada kelas di saat akhir. Kami akan bergerak bersama ke tempat program.Lega sedikit rasa di hati..

Pagi sabtu, aku hanya dapat mengiringi akhawat yang bergerak ke tempat program. Menghantar mereka bersama doa yang mengiringi.Aku akan menyusul kemudian usai presentation seminar.

Aku terus membuat persediaan untuk seminar dan slot yang akan aku kendalikan. Mengikut percaturanku, seminar mengambil masa lebih kurang 2 jam dan akan tamat dalam jam 2 petang dan slot akan bermula jam 4.30 petang. Sekali lagi aku diuji. Seminar bermula agak lewat, jam 1 petang. Teksi akan datang mengambil kami berdua jam 2 petang. Jam 2.15, tamat seminar kami..alhamdulillah, doktor yang mengendalikan seminar sangat baik hati pada hari itu walaupun beliau sangat dikenali dengan kegarangan dan ketegasan serta digeruni semua pelajar.

Terus aku tergesa-gesa pulang ke rumah. Barang untuk dibawa belum habis dikemas. Kami bertolak agak lewat.Alhamdulillah kami tiba sebelum slot aku bermula. Badan yang letih berkejaran. Perut yang kelaparan minta diisi dan otak yang sudah agak tepu dan penat. Aku mohon doa dari Allah agar dimudahkan urusanku untuk menggalas amanah mengendalikan slot.

Sebelum slot dimulakan, aku mendapat isyarat bahawa kami kesuntukan masa dan slot aku terpaksa dipendekkan dari 2 jam kepada 1 jam. Aduhh, mana mungkin aku bisa.Risau kalau-kalau objektif tak tercapai dek kekangan masa. Aku hanya mampu menerima dengan hati yang berdebar-debar. Moga aku mampu melakukannya.

Semasa mengendalikan slot, aku sedar yang aku tidak memberikan sepenuh kesungguhan dek badan yang penat dan hambatan masa. Namun aku cuba memberikan yang terbaik. Mungkin ada peserta yang sedar kepenatan diriku ini kerana kata-kataku yang kurang semangatnya dari biasa dan ketidaklancaran lidah saat berbicara.

Alhamdulillah, aku berjaya menyelesaikan amanah yang diberi. Walaupun kepenatan, namun aku tak putus berdoa moga peserta program dapat belajar 'something' dari apa yang aku bentangkan. Hanya itu harapan aku pada mereka.

Malamnya, aku diberi tugas untuk mengendalikan salah satu stesyen untuk 'night walk'. Alhamdulillah aku berikan komitmen yang aku mampu sedaya mungkin.Balik ke bilik, terus aku 'pengsan' kerna keletihan berkejaran menunaikan tanggungjwab dari pagi hingga ke malam.


Itulah lumrah seorang aktivis dakwah.Membenarkan apa yang dikatakan oleh imam HAB:

"kewajiban itu melebihi masa yang ada."

Sekarang aku betul-betul merasainya.Tapi apa yang menghairankan adalah, aku tidak merungut dan tidak berasa terganggu ataupun rasa terbeban dengan apa yang aku lalui. Aku sering mendengar kisah tentang daieyah dukturah dan pejuang-pejuang IM yang sangat sibuk bekerja untuk Allah namun mereka tidak pernah mengeluh. Perkara inilah yang banyak diceritakan oleh Imam HAB mengenai anggota-anggota ikhwan dalam risalahnya.

“Tidak ramai yang tahu bahawa ada antara pendakwah Ikhwan yang tamat bekerja pada waktu Asar hari Khamis, pada waktu Isyak dia telahpun berada di Elminya berceramah kepada masyarakat setempat, pada waktu sembahyang Jumaat pula dia menyampaikan khutbah di Manfalut, pada waktu Asar dia berceramah di Asyout, selepas Isyak dia memberi ceramah di Sohaj kemudian seperti biasa pada awal pagi Sabtu dia telah berada di tempat kerjanya di Kaherah sebelum rakan-rakan sekerja yang lain tiba."- Risalah Muktamar Kelima

Aku ingin jadi seperti mereka.
Yang menghabiskan setiap masa yang berlalu dengan aktiviti yang membawa insan mengenal Allah. Yang bekerja untuk menaikkan Islam.
Moga perkara kecil ini menjadi jawapan amalku di akhirat kelak,insyaAllah.
APAKAH INI KEBERKATAN???

Wassalam.


No comments:

Post a Comment